30 August, 2010

Bicara Pak Samad

Ramadan Yang Manis
Posted on August 27, 2010 by samadsaid

Alam itu cantik—gunung dan tasik;
maya terlalu indah—laut dan mega.
Lapar dan dahaga yang mengiktibar
cekal dan bersih suara mengajar:
Lapar kita dahaga yang menguji,
dahaga kita lapar yang mengerti—
ketaqwaan penuh terhadap Illahi.
Puasa—musim manis, bahang menguji,
angin yang santun ke pohon dakwah
bergugus dan sihat buah ibadahnya.

Bulan menyimpan kebijaksanaan,
musim indah di taman Ramadan,
menyerlahkan kemanusiaan luar biasa,
menginsafi keagungan Maha Kuasa.
Daun yang gugur tanah yang rekah
di atas sejadah harum iklimnya;
surah yang jernih dan suara syahdu
terhantar ke lidah dari damai qalbu,
merubah derita ke bahagia diri,
membimbing hidup yang diredhai.

Solat malam, zikir doa, tulus sedekah
ibadah ummah, tangkai yang ketiga,
mengagumi Allah Subhanahu Wa Taala.
Langit beradab, kelam dan cerah
datang dan pulangnya iktibar berhemah.
Badik ketika murka, senyum sewaktu mesra,
alam, insan khusyuk menyujud Illahi
sekiblat dalam tautan kasih yang hakiki.
Lailatul qadar ia pada detik terpilih
malam yang manis, indah dan jernih.

Pada malam sabar dan siang yang cekal
ranum pohon hikmah sebagai bekal;
gugus permata, kerlipnya paling mesra,
merimbun bugar, daunnya meneduhi ummah.

A. Samad Said


Ranum Ramadan

Posted on August 12, 2010 by samadsaid

Fajar harum, bermula salam dalam udara
yang mengkhusyukkan. Semuanya tiba
terdampar dalam sepi bermusim sabar:
Hati dan budi, didakap tulus oleh solat,
dalam gementar yang sentiasa syahdu.
Dalam nafas jerih bulan paling jernih,

amalan puasa mencabar dan mengajar.
Terlimpah sepadat makna yang perih;
kita belajar dari derita yang pedih;
dan dalam bulan ujian terlalu garang
kita masih boleh mengutip kesejahteraan.
Dongak ke angkasa rahsia mengkhayali

lapisan sfera, ke qalbu tersentuhnya
kita, digundahi kekaguman luar biasa:
Bumi anugerah Allah dan terpilih kita
khafilahnya, datang yang dianugerahi,
boleh memberi, boleh juga memungkiri,
terpulang santun memilih atau menafi.

Bulan ini memangnya saat bertafakur,
bersedia memurni diri jika bersyukur,
kerana puasa yang menguji, menjelang
Aidilfitri, nafas kudus menghening diri,
terbimbing ke batin lebih berhemah.
Terima kasih kita sepadu syahdu arah

yang memang datang seiring anugerah;
kerana manusianya kita, dan kerdilnya
di hadapan Allah, wajar bersyukurlah
setiap saat, sepurnama, penuh mekar
dalam debar, membaca setiap iktibar.
Kita beransur ranum dalam bulan mulia.

A. SAMAD SAID

No comments: